Friday, June 24, 2011

BERSIH 2.0; Adakah benar-benar bersih?

Kala ini tentu ramai rakyat Malaysia mnantikan tarikh 9 Julai 2011 yang mana satu perhimpunan atau demonstrasi jalanan yang dipanggil 'Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil' (Bersih 2.0) dijangka akan dilaksanakan. Presidennya, Dato' S Ambiga telah bertegas untuk meneruskan perhimpunan itu dan sanggup menghadapi apa sahaja tindakan bagi meneruskan niatnya. Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun telah menasihatkan agar perhimpunan berkenaan atau mana-mana perhimpunan atau demonstrasi jalanan tidak diadakan pada hari berkenaan dan telah membekukan semua permit untuk tujuan itu. Polis juga telah menegaskan bahawa mereka akan menggunakan seluruh kekuatan dan peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan sebarang perhimpunan tidak berlangsung pada hari berkenaan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati atau terbukti cuba mengadakannya.

Ramai yang setuju perhimpunan itu berlangsung, dan ramai juga yang membantah. Bagi aku, aku memang tidak suka melihat perkara-perkara seperti itu dan merasakan ianya hanya membuang masa serta merasa ia lebih banyak membawa kerugian. Kita tidak perlu menjadikan Malaysia seperti Thailand, Indonesia atau India, yang mana perhimpunan, demonstrasi jalanan, tunjuk perasaan telah menjadi seperti sebahagian daripada budaya mereka. Ambillah iktibar daripada kesan-kesan buruk yang ditanggung beberapa negara baru-baru ini akibat demonstari, tunjuk perasaan dan perhimpunan yang diadakan rakyat mereka. Adakah kita mahu Malaysia turut menanggung keadaan yang sama.

Bagi aku, demonstrasi yang diadakan hanya akan menjadi gangguan kepada keamanan dan keharmonian negara serta tentunya akan membawa kesan buruk terhadap ekonomi. Tentu banyak perniagaan yang bakal terganggu terutama di kawasan setempat. Kepada rakyat Malaysia, jadilah seorang individu yang bijak dan kenal pasti siapa sebenarnya penganjur perhimpunan seperti itu. Apa yang pasti mereka tentunya seorang yang mempunyai kepentingan diri dan politik serta akan berbuat apa sahaja untuk mencapai matlamatnya. Jangan jadi korban atas kepentingan mereka yang mencari keberuntungan serta kepentingan politik dan akhirnya menjadi banduan di lokap polis...

Sang Semilir Sakti...

Wednesday, June 22, 2011

KHEN WEI MAHU PULANG…


Keratan akhbar Sinar Harian Edisi Perak, Muka PK8,
isu 28 Mei 2011
Keratan akhbar ini adalah salah satu daripada laporan yang pernah aku buat semasa bertugas di Manjung. Sinar Harian Edisi Perak, muka surat PK8, isu 28 Mei 2011. Masih agak baru lagi laporan akhbarnya, tetapi derita uncle Ng Khen Wei ni la yang panjang. Aku sebenarnya sedih dan kasihan dengan derita yang uncle ni tanggung. Muka dia senyum jer masa aku temuramah dia sehari sebelum berita ni dipublishkan. Tapi bila tengok jauh ke dalam mata dia, memang dapat tengok kesayuan dalam diri dia yang sangat-sangat berhasrat nak balik ke kampung halaman, tempat kelahiran dia, iaitu di Kalabakan, Tawau, Sabah.

Hj Azri bin Jaafar
Pegawai Khas ADUN Pangkor
Pertemuan aku dengan Ng Khen Wei yang kini telah berusia 54 tahun telah diaturkan oleh Tuan Haji Azri bin Jaafar, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor (Menteri Besar Perak, Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pangkor/Pejabat UMNO Bahagian Lumut, yang meminta aku menulis artikel berkenaan Khen Wei. Tuan Haji Azri ketika itu sedang berusaha untuk membantu Khen Wei untuk membuat MyKad dan seterusnya dapat kembali menetap di kampung halamannya.

Setelah bersembang sekitar lebih kurang 1 jam setengah dengan Khen Wei, apa yang aku dapat tahu ialah Khen Wei merupakan salah seorang anak Sabah yang menjadi mangsa Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1963-66 dahulu {bagaimanapun semasa ditemuramah Khen Wei mendakwa peristiwa kekecohan yang ditimbulkan tentera Indonesia berlanjutan hingga 1970 ~ Wallahu A'alam}. Diceritakan Khen Wei sendiri, ketika serangan dilakukan Indonesia ke atas Sabah, dia bersama beberapa orang lagi pemuda kampung telah diselamatkan seorang lelaki yang tidak dikenali, yang telah membawa mereka semua ke tanah Semenanjung ini dan pada ketika itu, dia baru berumur 13 tahun . Ditanya tentang ibu bapanya, Khen Wei mengaku telah lupa nama mereka dan hanya ingat ibunya berketurunan Kadazan sementara bapanya berketurunan Cina.

Dia tiba di tanah Semenanjung dalam keadaan sehelai sepinggang dan kini telah 40 tahun berkelana sehinggalah dia sampai ke daerah Manjung dan kini menetap di kampung Kayan, Sitiawan. Dan hidup sebatang kara, tanpa pernah berkahwin, baru dia tahu kepentingan memiliki MyKad atau kad pengenalan. Itupun setelah dia ditangkap polis pada April 2006 dahulu kerana tidak memiliki kad pengenalan. Identitinya sebagai warga Sabah telah dikenal pasti seorang anggota polis di IPD Manjung yang juga berasal dari Sabah. Setelah itu Khen Wei telah berusaha melalui pelbagai cara untuk mendapatkan kad pengenalan atau MyKad termasuk melalui MCA dengan berjumpa sendiri dengan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Kong Cho Ha di Sitiawan. Namun gagal dan kini dia begitu berharap harapan terakhirnya iaitu melalui bantuan parti tertua dan terulung di Malaysia, iaitu UMNO dapat membantunya.

Ng Khen Wei
Seperti telah dimaklumkan Jabatan Pendaftaran Negara Khen Wei perlu balik ke Sabah untuk membuat rujukan kembali kelahirannya sebelum proses pengesahan kewargaan dapat dilaksanakan bagi membolehkan dia mendapat MyKad seperti sepatutnya. Di Sabah ADUN Apas, Dato' Tawfiq Abu Bakar Kitingan telah memberi persetujuan untuk membantu dengan syarat UMNO Bahagian Lumut atau pusat dapat membantu membawa balik Khen Wei ke Sabah dan seterusnya ke kampung kelahirannya. Tawfiq juga telah memaklumkan bahawa sebaik sahaja kaki Khen Wei mencecah bumi Sabah, beliau akan serta-merta mengambil alih peranan, dan akan membantu Khen Wei sepenuhnya sehingga dia mendapat MyKad dan dapat terus menetap di kampung halamannya.

Telah ada yang memberi kesanggupan membantu dan apa yang perlu dibuat sekarang ini adalah membawa Khen Wei balik ke Sabah. Tn Azri telah menemui serta menghubungi semua pihak yang sepatutnya dan ingin mengetahui siapa dapat membantu serta prosedur yang perlu diikuti bagi menyelesaikan masalah Ng Khen Wei itu. Namun, usaha menemui kesulitan kerana  terlalu banyak alasan yang diberikan dan tidak ada pihak yang benar-benar mahu tampil ke hadapan untuk membantu.

Paling menyedihkan, apabila telingan aku ini mendengar sendiri ucapan yang tidak sepatutnya daripada orang kuat politik serta UMNO sendiri dalam menyelesaikan masalah Khen Wei ini adalah persoalan apa liability yang akan diperolehi UMNO sekiranya berjaya menyelesaikan masalah Khen Wei itu. Apa maksud semua itu, kenapa kulit keikhlasan untuk membantu perlu bertanyakan apa yang boleh menguntungkan UMNO dalam usaha murni ini. Kenapa perlu menjuruskan bantuan kepada Khen Wei itu ke arah politik. Adakah ini caranya berjuang untuk bangsa dan rakyat?

Khen Wei (kanan) perlu pulang ke Sabah dan membuat
semakan kelahiran bagi membolehkan dia memiliki MyKad
Maaf, aku bukan nak menghentam UMNO, tapi aku ini berpandangan neutral. Aku puji keikhlasan Tn Azri membantu Khen Wei, namun sedih dengan sikap segelintir kepimpinan serta perwakilan UMNO yang setiap masa hanya mementingkan keberuntungan diri mereka. Mereka seperti tidak pecaya bahawa keikhlasan membantu mereka yang kesusahan kelak akan dibalas secara adil dan saksama serta diberi ganjaran setimpal oleh Allah. Yang penting ini adalah masalah rakyat di Negara ini yang sepatutnya didahulukan sepertimana yang telah dilaung-laungkan. Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Satu perkara lagi yang membuat aku sedih dengan kerajaan kita adalah komplikasi yang ditimbulkan melalui kerenah birokrasi yang tidak pernah mahu berubah. Sehingga sekarang Khen Wei masih menunggu dan sering tertanya-tanya, bila dia boleh balik ke Sabah.

Adakah pihak kerajaan takut Khen Wei melarikan diri sbaik tiba di Sabah?  Jika itu menjadi alasan, maka persoalannya adalah, apa gunakan agensi di bawah KDN? Terutama Cawangan Khas PDRM atau lebih dipopular dengan nama Special Branch (SB). Bukankah KDN boleh sahaja mengarahkan SB-SB berlambak di Negara ini termasuk juga di Sabah untuk mengiringi serta mengawal Khen Wei sepanjang proses berkenaan sehingga dia disahkan warga tempatan Sabah dan menerima MyKadnya. Hatta Tn Azri sendiri telah menyatakan beliau sanggup mengiringi Khen Wei sepanjang proses itu berlangsung bagi memastikan Khen Wei tidak mengambil kesempatan melarikan diri.

Terdapat banyak cara sebenarnya sebagai langkah keselamatan serta jaminan dalam menyelesaikan masalah Khen Wei in, namun seperti yang telah dikatakan pada awal tadi. Karenah birokrasi jabatan kerajaan yang terlalu cerewet dan ada ketikanya sengaja menyukarkan keadaan. Buat kerja ala kadar dan pelbagai lagi. Terlalu banyak alasan diberikan dan bukannya hendak berusaha mempercepatkan usaha ini agar Khen Wei yang semakin tua itu dapat kembali hidup tenang di tanah tumpah darahnya. Hatta kalangan kakitangan kerajaan sekarang ini terutama generasi bah entahkan tahu entahkan tidak tentang sejarah Konfrontasi Indonesia-Malaysia untuk turut sama merasai, menjiwai dan bersimpati atas keperitan yang terpaksa dilalui Khen Wei.

Kini persoalan yang timbul adalah…bila baru masalah Khen Wei ini dapat diselesaikan atau adakah ia akan dapat diselesaikan. Adakah perkara ini juga akan ditangguh sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 kelak? Sepertimana yang telah dikatakan di awal tadi, untuk mendapatkan liability politik…

???
Sang Semilir Sakti…

Tuesday, June 21, 2011

Salam perkenalan...

Akhirnya atas saranan, desakan, cadangan dan bermacam bentuk suara yang dilontarkan kawan, sahabat, teman dan seangkatan dengannya, maka muncul akhirnya satu blog milik Mustaqim Amir Azuari Mohamed a.k.a Amir 'Flaming Coffin' Mohamed {nama gua kat FB}.

Sebetulnya aku masih baru bermain blog dan sepertinya anak-anak kecil yang baru mahu berjinak tentunya aku ini tidak begitu mahir dengan permainan di blog.

Lamun, setahunya aku ini, sepertimana pernah diceriterakan kawan, sahabat, rakan dan taulan, blog merupakan tempat di mana lontaran idea, pendapat, pandangan serta luahan rasa dapat dibuat.

Aku tidak mengkhaskan blog ini untuk memperkenalkan diri aku, mahupun ingin ianya menjadi sebuah diari perjalanan hidupku, akan tetapi lebih kepada ingin menjadi tempat aku melontarkan idea-idea, pandangan serta buah fikirku mengenai pelbagai perkara terutama sekali tentang isu yang menyelubungi bangsa dan ngaraku, nasib dan masa hadapannya serta pelbagai lagi.

Sementelah, aku juga ingin menjadikan blog ini sebagai sebuah tempat di mana aku dapat memperkayakan dan berkongsi pemahaman diriku serta lain-lain orang yang banyak tentang pelbagai perkara baik lahiriah, batiniah, dan paling penting Islamic serta Religious.

satu lagi, mungkin di blog ini kalian akan dapat melihat banyak penggunaan bahasa Melayu lama, tua, puitis serta pelbagai lagi kerana itulah aku yang aku ingin kalian kenali...sebagai Melayu...anak Melayu...Perwaris bangsa penjunjung adat Melayu...Aku adalah aku...dan fitrah kejadianku dalam keponakan Melayu...maka bahasa lidah ibundaku juga adalah Bahasa Melayu...aku sayang Agamaku, aku sayang bangsaku dan aku sayang bahasaku...

Arakian, tidak mahu lagi ku perpanjangkan introduksi aluan kalian ke blog aku ini...dan aku sudahi ianya dengan ucapkata...Selamat Datang, Selamat Singgah, Selamat Sejahtera dan Assalamualaikum Warahmatullah {Sejahtera dan dirahmati Allah ke atas kamu semua}...