Keratan akhbar Sinar Harian Edisi Perak, Muka PK8, isu 28 Mei 2011 |
Hj Azri bin Jaafar Pegawai Khas ADUN Pangkor |
Setelah bersembang sekitar lebih kurang 1 jam setengah dengan Khen Wei, apa yang aku dapat tahu ialah Khen Wei merupakan salah seorang anak Sabah yang menjadi mangsa Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1963-66 dahulu {bagaimanapun semasa ditemuramah Khen Wei mendakwa peristiwa kekecohan yang ditimbulkan tentera Indonesia berlanjutan hingga 1970 ~ Wallahu A'alam}. Diceritakan Khen Wei sendiri, ketika serangan dilakukan Indonesia ke atas Sabah, dia bersama beberapa orang lagi pemuda kampung telah diselamatkan seorang lelaki yang tidak dikenali, yang telah membawa mereka semua ke tanah Semenanjung ini dan pada ketika itu, dia baru berumur 13 tahun . Ditanya tentang ibu bapanya, Khen Wei mengaku telah lupa nama mereka dan hanya ingat ibunya berketurunan Kadazan sementara bapanya berketurunan Cina.
Dia tiba di tanah Semenanjung dalam keadaan sehelai sepinggang dan kini telah 40 tahun berkelana sehinggalah dia sampai ke daerah Manjung dan kini menetap di kampung Kayan, Sitiawan. Dan hidup sebatang kara, tanpa pernah berkahwin, baru dia tahu kepentingan memiliki MyKad atau kad pengenalan. Itupun setelah dia ditangkap polis pada April 2006 dahulu kerana tidak memiliki kad pengenalan. Identitinya sebagai warga Sabah telah dikenal pasti seorang anggota polis di IPD Manjung yang juga berasal dari Sabah. Setelah itu Khen Wei telah berusaha melalui pelbagai cara untuk mendapatkan kad pengenalan atau MyKad termasuk melalui MCA dengan berjumpa sendiri dengan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Kong Cho Ha di Sitiawan. Namun gagal dan kini dia begitu berharap harapan terakhirnya iaitu melalui bantuan parti tertua dan terulung di Malaysia, iaitu UMNO dapat membantunya.
Ng Khen Wei |
Telah ada yang memberi kesanggupan membantu dan apa yang perlu dibuat sekarang ini adalah membawa Khen Wei balik ke Sabah. Tn Azri telah menemui serta menghubungi semua pihak yang sepatutnya dan ingin mengetahui siapa dapat membantu serta prosedur yang perlu diikuti bagi menyelesaikan masalah Ng Khen Wei itu. Namun, usaha menemui kesulitan kerana terlalu banyak alasan yang diberikan dan tidak ada pihak yang benar-benar mahu tampil ke hadapan untuk membantu.
Paling menyedihkan, apabila telingan aku ini mendengar sendiri ucapan yang tidak sepatutnya daripada orang kuat politik serta UMNO sendiri dalam menyelesaikan masalah Khen Wei ini adalah persoalan apa liability yang akan diperolehi UMNO sekiranya berjaya menyelesaikan masalah Khen Wei itu. Apa maksud semua itu, kenapa kulit keikhlasan untuk membantu perlu bertanyakan apa yang boleh menguntungkan UMNO dalam usaha murni ini. Kenapa perlu menjuruskan bantuan kepada Khen Wei itu ke arah politik. Adakah ini caranya berjuang untuk bangsa dan rakyat?
Khen Wei (kanan) perlu pulang ke Sabah dan membuat semakan kelahiran bagi membolehkan dia memiliki MyKad |
Satu perkara lagi yang membuat aku sedih dengan kerajaan kita adalah komplikasi yang ditimbulkan melalui kerenah birokrasi yang tidak pernah mahu berubah. Sehingga sekarang Khen Wei masih menunggu dan sering tertanya-tanya, bila dia boleh balik ke Sabah.
Adakah pihak kerajaan takut Khen Wei melarikan diri sbaik tiba di Sabah? Jika itu menjadi alasan, maka persoalannya adalah, apa gunakan agensi di bawah KDN? Terutama Cawangan Khas PDRM atau lebih dipopular dengan nama Special Branch (SB). Bukankah KDN boleh sahaja mengarahkan SB-SB berlambak di Negara ini termasuk juga di Sabah untuk mengiringi serta mengawal Khen Wei sepanjang proses berkenaan sehingga dia disahkan warga tempatan Sabah dan menerima MyKadnya. Hatta Tn Azri sendiri telah menyatakan beliau sanggup mengiringi Khen Wei sepanjang proses itu berlangsung bagi memastikan Khen Wei tidak mengambil kesempatan melarikan diri.
Terdapat banyak cara sebenarnya sebagai langkah keselamatan serta jaminan dalam menyelesaikan masalah Khen Wei in, namun seperti yang telah dikatakan pada awal tadi. Karenah birokrasi jabatan kerajaan yang terlalu cerewet dan ada ketikanya sengaja menyukarkan keadaan. Buat kerja ala kadar dan pelbagai lagi. Terlalu banyak alasan diberikan dan bukannya hendak berusaha mempercepatkan usaha ini agar Khen Wei yang semakin tua itu dapat kembali hidup tenang di tanah tumpah darahnya. Hatta kalangan kakitangan kerajaan sekarang ini terutama generasi bah entahkan tahu entahkan tidak tentang sejarah Konfrontasi Indonesia-Malaysia untuk turut sama merasai, menjiwai dan bersimpati atas keperitan yang terpaksa dilalui Khen Wei.
Kini persoalan yang timbul adalah…bila baru masalah Khen Wei ini dapat diselesaikan atau adakah ia akan dapat diselesaikan. Adakah perkara ini juga akan ditangguh sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 kelak? Sepertimana yang telah dikatakan di awal tadi, untuk mendapatkan liability politik…
???
No comments:
Post a Comment